different.driven.

Advocating Life; Blessed with Ra'i Hamde.

My Photo
Name:
Location: Sungai Petani, Malaysia

Tuesday, January 27, 2009

Anak Abah Bercerita

27.1.2009, Selasa 4.09 petang.

Sunyi sangat rasanya hidup tidak ada abah. Walaupun emak, Hamde dan adik-beradik yang lain-lain ada. Tak sama rasanya. Sunyi, walaupun dalam banglo yang semua orang puji cantik ini. Kalau abah ada mesti dia ada projek pertukangan yang baru. Mesti ada plan untuk buat bilik stor atau bilik simpan perkakas berkebun. Atau susun batu bata untuk buat pagar sempadan dengan rumah jiran. Atau gantung buai hayun dari dahan pokok. Sebenarnya semua tu kita boleh buat sendiri, tapi tak sama dengan buat bersama abah. Bila kita buat pun, sayu teringat kat abah juga.

Kalau abah ada mesti abah suka duduk sini. Walaupun masa abah datang tengok rumah ni waktu mula-mula siap, masa tu api tak masuk lagi, jadi lampu pun tak pasang lagi, abah kata rumah ni besar sangat, abah kata cita-cita kita tinggi sangat (nak duduk rumah banglo) tapi rasanya kalau abah ada sekarang abah suka rumah ni, sebab kawasannya luas, abah boleh buat apa yang abah nak, nak buat bangsal kah, nak extend dapur kah, nak bina stor kah, nak tanam apa-apa pun boleh. Tentu abah ada banyak idea nak tanam pokok apa. Tentu abah seronok sebab kawasan lapang untuk anak cucu bermain. Tapi abah dah tak ada. Jadi sunyi sangat.

Kadang-kadang tak tahu apa nak buat. Dah kerja sepenuh-penuh masa, sampaikan buat dua kerja sekali. Sunyi juga abah. Hilang sunyi bila ada kelas, bila mengajar, hilang sunyi bila sibuk-sibuk di Mahkamah, dengan anakguam. Bila kena fikir banyak-banyak buat dokumen nak bina kes, nak lawan di Mahkamah. Tapi sebenarnya sepanjang masa, rindu juga kat abah. Apa kita nak buat, abah.

Kita tahu Tuhan lebih sayangkan abah, kita tahu abah pergi dalam keadaan paling baik, hari baik, bulan baik. 10 Ramadhan. Kita tahu abah pergi dalam aman. Tapi hati kita masih tak kuat sampai sekarang. Pada siapa kita nak mengadu, abah? Kita tak boleh sedih-sedih depan mak. Mak harapkan kita. Kita tak boleh sedih-sedih di rumah, nanti Hamde pun sedih juga. Bilalah kita boleh ingat masa-masa dulu dengan abah dengan tak keluar air mata?

Dua hari yang lepas kita demam sangat, abah. Lama dah tak demam macam tu. Sakit dalam kepala rasa tak tahan. Sakit urat-urat mata mencengkam. Tekak tak lalu. Kita pun tak makan dua hari tu, selain buah oren dengan minum air saja. Kita makan ubat demam yang beli di farmasi. Hari ni dah sihat semula, cuma selera tak ada dan hidung masih tersumbat, selsema. Tapi pagi tadi dah mesin rumput di luar banyak juga. Sebenarnya semalam lagi dah mula mesin rumput di tepi rumah. Lapang sikit mata memandang. Mesin tu tak berat pun, berat lagi beg komputer yang diusung ke hulu ke hilir nak buat kerja tu.

Agaknya kita sedih sangat ni sebab adik-adik dua orang dah balik ke KL semula sekeluarga. Sayang betul dua hari yang mereka ada tu kita tak sihat, tidur sahaja, tak mampu nak melangkah ke mana. Kalaulah kita semua boleh duduk setempat, rumah dekat-dekat, tiap-tiap hari bersua muka mungkin tak sunyi sangat hidup kita ya abah? Tapi adik-beradik tiga orang lagi yang duduk dekat-dekat sini pun tak selalu kita jumpa. Sibuk sangat dengan jadual kerja masing-masing. Kepala masing-masing pun berlainan hala. Tak sepakat. Kenapa kita jadi tak sepakat, abah? Mungkin itu tugas kita yang masih tinggal lagi.

Mak macam letih sangat tertidur di ruang tamu atas tilam lemek. Toto kata orang kedai. Bawah kipas. Mak pun dah tua. Dah tak kuat lagi dah. Selalu jugak penat. Bila dia penat sangat kita bawak dia pergi klinik yang kita bawak abah dulu tu juga. Dah kenal dengan doktor tu senang sikit, abah. Mak makan pun tak lalu sangat sekarang, tapi kita tahu mak selalu jaga kesihatan juga, makan walaupun lauknya terhad kepada sayur-sayur dua tiga jenis dan ikan goreng. Lauk-lauk yang lain dah tak masuk dengan selera emak lagi.

Bila abah tak ada kita macam hilang paksi. Kesian juga dengan emak sebab kena pindah sana-sini. Bila kita nak ke rumah banglo ni, emak mesti ikut. Bila kita nak kerja, semua balik ke rumah abah yang kita dah jadikan tempat kerja. Bila kita kena pergi mengajar, kadang-kadang emak tinggal saja di rumah abah tu dengan Hamde, kadang-kadang emak pergi tidur rumah adik kalau rasa sunyi sangat. Ikut kita ke KL hari-hari kita mengajar pun, selalu juga. Tidur di hotel, atau di rumah adik yang kecil, atau di bilik sewa kita. Emak ikut saja. Kasihan emak, tapi nampaknya emak nak ikut kita. Mungkin sebab adik-adik yang lain sama ada sudah berkeluarga, masih belajar atau masih mencari kerja. Walaupun kita ni kerja tak tentu masa dan tempat, tapi lebih kurang sudah bertapak.

Rasanya kita tahu kenapa kita rindu kat abah hari ni. Semalam hari jadi abah kan. Teringat dulu masa abah masih kerja kat maktab dan kita masih belajar di universiti. Masa ingat kat abah macam ni kita hantar coklat kat abah. Kita pos kat abah. Kita tulis surat kat abah. Abah jawab jugak surat tu. Kita simpan lagi surat abah sampai harini. Nanti kita cari, ada dalam laci-laci kita. Tapi kalau kita baca surat tu kita menangis lagi pula. Happy Birthday abah. You would have been 64 now abah.

Dah lah abah. Lain kali kita sambung cerita. Jam dah sepuluh minit lepas pukul lima, kita nak kejut mak sembahyang asar. Nak habiskan mesin rumput sekejap, nanti tinggal lama kering pulak minyak dalam tangki. Lepas ni Hari Sabtu pulak kita baru ada masa di rumah ni. Lepas mesin rumput kita nak keluar sekejap cari tiket bas, esok Rabu, kena pergi KL. Takut tak ada tiket nanti sebab cuti raya cina ni.

Salam sayang kat abah. Semoga Tuhan sentiasa merahmati roh abah.
(c)raosuryana 2007-2009